BERCUTI DI KUCHING (2018)

Assalamualaikum dan selamat sejahtera.
Hari ini aku akan bercerita tentang percutian 3 Hari 2 Malam aku ke KUCHING, Sarawak dengan bajet RM650 all-in!

Sebelum mulakan trip, aku beli tiket flight
KLIA2 ke Kuching dengan AirAsia : RM79 pergi + RM79 balik = Total RM158

Aku booking hotel di Tune Hotel Waterfront Kuching untuk dua malam = RM168 melalui booking.com
Siap dengan breakfast dan private bathroom. Aircond pun ada, TV pun ada. Kalau nak WiFi, kena bayar RM12 sehari atau 24jam. TuneHotel Kuching ni betul betul di depan Hilton Hotel. Memang entrance Hilton dan entrance TuneHotel berhadapan satu sama lain. So tak susah untuk Grab/Uber driver nak datang ke sini untuk ambil penumpang.



Flight AK5232 from KUL to KCH


Hari Pertama - 30 Januari 2018

Selasa. Aku apply cuti satu hari iaitu pada tarikh ni. Oleh sebab 31 Januari dan 1 Februari adalah cuti umum (Cuti Thaipusam dan Cuti Hari Wilayah), jadi aku putuskan untuk spend 3 hari 2 malam di Kuching, Sarawak.

Ok dari rumah aku ke KLIA2, aku ambil GRAB ke KL Sentral. Dari KL Sentral ke KLIA2 aku ambil KLIA Ekspres (ERL) sebab ada promosi RM100 untuk pergi balik KL Sentral-KLIA2 dan KLIA2- KL Sentral termasuk 2 promo code GRAB yang bernilai RM10. So agak menjimatkan masa dan wang. Walaupun jauh lebih jimat kalau ambil Skybus dari KL Sentral tu. Tapi flight aku ke Kuching pun pukul 8:00 pagi dan aku malas nak bangun awal sangat.

Dalam KLIA Ekspress menuju KLIA2


So sebelum flight, aku dah pre-book meal Rice with Green Curry = RM10. Sepanjang flight, aku tidur je kecuali time nak makan.

Aku sampai di Kuching International Airport (KIA) pukul 10:15pagi. Terus ke kaunter imigresen. Cop passport. Aku bawak passport sebab malas nak kena keluarkan IC, lepas tu nanti kena simpan slip pas masuk Sarawak tu. Lagipun just nak tambahkan lagi cop dalam passport tu. Haha.

Sejurus mendapat pelepasan di kaunter imigresen, aku contact member aku yang tinggal dekat Kuching. Sigmund nama dia. Kami kenal masa satu bilik dekat Kolej Teratai, UiTM Shah Alam dulu. Memang dah inform dia sehari sebelum yang aku nak mintak tolong dia hantarkan aku ke Kampung Budaya Sarawak ataupun Sarawak Cultural Village (SCV). Sebab kalau naik GRAB dari KIA ke SCV, dalam RM50 jugaklah. So alang-alang ada member, kita mintaklah tolong. Boleh jimatkan kos. Hehehe. Tapi sampai dekat SCV tu, aku belanjalah dia makan. Laksa Sarawak. First time jugak aku makan laksa ni. Agak berangin dan pedas sikit sebab banyak lada putih kot.


Aku dan Sigmund bersama kereta saganya menuju ke Kampung Budaya Sarawak

Laksa Sarawak yang dijual di food court depan Kampung Budaya


Ok kemudian aku terus masuk ke SCV dengan bayaran RM63.10 seorang. Tak pasti kenapa harga dia berbeza dengan online sebab kalau beli online cuma RM50 sahaja. Lepas bayar tiket masuk, dapat sebuah passport. Passport ni tujuannya untuk menambah keunikan dan keseronokanlah. Setiap rumah yang kita kunjungi dalam SCV tu, akan ada satu stamp atau cop. So ada 7 buah rumah kesemuanya, bermakna kita kena kumpul 7 cop lah. Rumah tersebut adalah Rumah Cina, Rumah Melayu, Rumah Melanau, Rumah Orang Ulu, Rumah Penan, Rumah Iban dan Rumah Bidayuh.

Aku mulakan dengan Rumah Cina. Kebetulan masa tu, tuan rumah tengah kukus kuih Ang Koo. Sejenis kuih tradisional cina. Dalam ada inti kelapa, inti kacang hijau dan kacang merah. Sebungkus RM3 ada 5 biji. Rasanya boleh tahan lah sebab tak pernah makan kuih ni. Tapi agak melekit macam kuih koci.

Kemudian aku ke Rumah Melayu dimana tuan rumah sedang bakar kuih bahulu dan kuih kapit. Sambil dihidangkan dengan persembahan dua orang makcik yang menyanyi lagu selamat datang menggunakan rebana. Sedap suara diaorang. Macam Dayang Nurfaizah. LOL. Tapi aku sangat memuji kesungguhan diaorang walaupun tak ramai yang ada dalam rumah tu masa tu, cuma aku dan 2 pengunjung lain. Tapi mereka tetap memberi persembahan dengan penuh keikhlasan. Walaupun agak berusia dan nampak raut keletihan di wajah mereka. Aku pun layankan lah persembahan mereka sampai habis dengan muka penuh keterujaan.

Selepas tu aku ke Rumah Melanau (rumah yang paling tinggi sehingga 4 tingkat). Kemudian ke Rumah Orang Ulu, Rumah Penan sebelum ke Rumah Iban. Di Rumah Iban, aku berjumpa wakil tuan rumah yakni orang Iban sendiri. Beliau memakai pakaian tradisional orang Iban siap dengan parang di sampingnya dan tatu bungai terung di kedua belah bahunya. Di situ aku habiskan masa yang lama kerana berborak dengan beliau tentang masyarakat Iban di Sarawak. Antaranya tentang kehidupan moden masyarakat Iban, pola penempatan Iban yang bukan sahaja ada di Sarawak tetapi di Kalimantan dan Brunei. Tak kurang juga tentang kemahuan masyarakat Iban dalam politik. Tapi itu agak sensitif untuk diberitahu di sini. Kemudian aku ke rumah Bidayuh yakni Baruk atau rumah pahlawan Bidayuh. Baruk adalah satu rumah di mana pahlawan masyarakat Bidayuh dulu-dulu berkumpul dan menjaga kawasan kampung mereka dari ancaman musuh. Dikatakan pahlawan Bidayuh yang memenggal kepala musuh akan membawa pulang tengokak musuh tersebut dan diletakkan di bahagian siling Baruk. Di bawahnya diletakkan kayu api yang menyala untuk menghalau semangat roh jahat.

Setelah 4 jam pusing di dalam SCV, akhirnya aku ke dewan teater untuk menyaksikan persembahan kebudayaan setiap masyarakat yang ada di SCV ini. Untuk pengetahuan, persembahan ini diadakan sebanyak dua kali sehari pada jam 11pagi dan 4petang setiap hari. Banyak keunikan yang dapat dilihat sepanjang persembahan ini antaranya tarian zapin melayu, tarian alu alu melanau dan tarian pahlawan iban. Akhir sekali ialah tarian dari masyarakat Penan. Keistimewaannya ialah pahlawan penan tersebut akan cuba menyumpit beberapa belon dari jarak jauh yang terdapat dalam dewan teater tersebut. Memang menakjubkan.

Aku amat berpuas hati dengan lawatan aku ke SCV ni. Sambil ditemani cuaca hujan renyai yang sejuk dan kabus yang menyelubungi puncak Gunung Santubong di belakang SCV ini.

Untuk perjalanan pulang ke Kuching, aku menghadapi masalah kerana tiada GRAB/ Uber di kawasan SCV ni. Jadi aku nampak sekumpulan pelancong malaysia menaiki van lantas meminta izin untuk menumpangkan aku ke Bandar Kuching. Alhamdulillah, peluang tidak disia-siakan. Dapat juga balik ke Bandar Kuching tanpa sebarang bayaran. Hehe.. Sampai saja di bandar Kuching, aku check-in di Tune Hotel.

Di sebelah malamnya, aku keluar mencari makan malam. Kerana aku keluar agak lewat yakni pada jam 11malam, jadi banyak kedai makan yang sudah tutup. Lepas bertanya kawan aku yang menetap di Kuching, dia mencadangkan Warung Nusantara (dibuka 24jam) dan RJ Ayam Bakar (dibuka sehingga 3pagi). Jadi aku ke RJ Ayam Bakar. Aku memesan Set Nasi Ayam Bakar. Memang sedap seperti Wong Solo di Shah Alam tapi sambalnya agak pedas dan ventilation di dalam kedai kurang memuaskan sehingga aku berpeluh. Menurut review di Swarm juga, ramai pelanggan complaint tentang pengudaraan di dalam restoran ini yang melemaskan.

Selepas makan aku kembali ke hotel dan tidur.... Zzzz

Kuih Ang Koo dari Rumah Cina

Makcik di Rumah Melayu sedang bakar Kuih Bahulu sambil berborak tentang hidup dia semasa muda-mudi. Katanya dulu mengharung sungai menaiki sampan 5 jam untuk ke kampung halaman

Sambil berborak, sambil membakar kuih

Makcik disebelah pula sedang menyiapkan kuih kapit

Performer dari Rumah Melayu. Memang sedap suara mereka. 
Walaupun tak ramai pengunjung, the show must go on!

Wakil Iban yang meluangkan masa untuk berbual dengan aku tentang masyarakat Iban di Sarawak

Antara aktiviti masyarakat Iban di rumah panjang, menenun pakaian dari benang kapas

Selesai berkunjung ke semua rumah dan menonton persembahan di dewan teater. Latar belakang ialah Gunung Santubong.

Dinner Set Nasi Ayam Bakar di RJ Ayam Bakar Jalan Abell



Hari Kedua - 31 Januari 2018

Hari kedua aku bangun jam 7pagi. Mandi dan sarapan di restoran sebelah Tune Hotel. Sarapan ini percuma kerana sudah termasuk dalam harga penginapan. Cuma sarapan roti dua keping bersama jem strawberi dan seri kaya. Kemudian aku terus ke Bus Stop di hadapan RJ Ayam Bakar sebab mengikut blog blog lain, bas ke Bako akan lalu situ. Jadi aku tunggu dari 8:15 pagi sehingga 9:45 pagi. Barulah muncul kelibat bas yang ditunggu tunggu. Iaitu Bas Asia Bernombor 1 (Bas warna Merah No. 1). Tambang ke Bako adalah RM3.50 seorang. Perjalanan mengambil masa 45minit. Jadi aku tiba di Terminal Bas Bako pada jam 10:30. Terminal Bas Bako tak jauh dengan Jeti ke Taman Negara Bako. Aku terus ke kaunter jeti dan beli tiket masuk ke Taman Negara (RM10 seorang) dan bot pergi-balik RM30.

Bas Merah No 1 yang menuju ke Bako.


Bot bertolak dari jeti ke Taman Negara Bako (TNB) pukul 11:30pagi sebab air sungai masa belum pasang. Jadi dari jeti ke TNB makan masa 30minit. Namun disebabkan air masih cetek, bot kami terpaksa menunggu sehingga air cukup pasang dan barulah boleh menongkah arus.

Bako Terminal. Tempat daftar ke Taman Negara dan ambil bot ke Taman Negara


Sampai sahaja di Kaunter Pendaftaran TNB, pengunjung boleh memilih sama ada nak balik hari atau nak stay overnight di situ. Pengunjung yang datang ke TNB perlu merujuk kepada kaunter TNB untuk tahu trail mana nak ikut dan daftarkan diri sebelum memulakan hiking.
Jadi aku pilih untuk balik hari. Kalau nak stay overnight, ada chalet yang disediakan dengan bayaran tertentu. Korang boleh rujuk di blog lain ataupun tanya sendiri dekat kaunter TNB tu. Ok memandangkan aku sampai di TNB pun dalam pukul 12:30tghari, dan aku dimaklumkan pihak pengurusan TNB yang bot terakhir dari TNB ke Jeti Bako adalah pada pukul 3petang, jadi aku memilih untuk ambil trail yang paling pendek iaitu trail No 6 ke Teluk Pandan Kecil (TPK). Masa yang diambil untuk ke TPK adalah 1jam 30minit pergi, dan 1 jam 30 minit balik. Jadi kalau pergi dan balik akan mengambil masa 3jam. Jam pula dah pukul 12:30tghari. So agak-agak aku akan tiba semula di Kaunter TNB pukul 3:30ptg dan aku akan terlepas bot nak balik ke Jeti Bako. Habis tu macam mana??

Haa..memandangkan sebelum aku datang ke sini aku dah buat research dekat blog blog lain, aku pun ke kaunter bot di mana ada disediakan bot untuk ambil pengunjung dari pantai TPK balik ke Kaunter TNB (ataupun dikenali sebagai HQ). Kadar tambang satu bot ialah RM35. Ingat ya, ini ialah tambang berlainan dari yang kita bayar RM30 semasa mula-mula tiba di jeti Bako tadi. Jadi kebetulan, ada sebuah keluarga 3 beranak yang nak ke TPK juga seperti aku. Jadi aku approach family ni dan mereka setuju untuk bersama-sama berkongsi bot untuk kembali ke HQ dari TPK. So, RM35 bila tong-tong 5 orang, jadilah RM7 sorang. Kan dah jimat. Tak payah pening pikir mcm mana patah balik ke HQ lepas hiking selama 1jam 30minit. Bot akan datang pada jam 2:30ptg dan ambil di pantai TPK.

So dari HQ, aku mulakan hiking menyelusuri beberapa chalet dan masuk ke Lintang trail selama 1 jam sebelum meneruskan trail ke TPK (trail berwarna kuning atau nombor 6) selama 30minit. Di sepanjang trail, tak banyak haiwan atau binatang yang aku jumpa. Hanya seekor babi hutan berjanggut ataupun Bearded Boar yang sedang relaks bersiar siar mencari makanan. Babi ini tak takut langsung dengan kehadiran manusia. Malah mesra pula bila dipanggil panggil pengunjung yang datang. Selain babi hutan, aku jumpa seekor ulat bulu dan segerombolan semut berkawad satu satu hora hore di atas sebatang pokok yang tumbang. Agak menghampakan apabila tiada kelibat Proboscis Monkey ataupun Monyet Belanda di sepanjang trail. Mungkin kerana hari sudah terik dan mereka sudah keluar mencari makan di sebelah pagi sebelum tu. Takpelah. Tiada rezeki barangkali.

Aku tiba di puncak TPK pada jam 2 petang. Ambil masa 30minit untuk bergambar. Sememangnya berbaloi berjalan sejauh ini kerana pemandangannya sangat menakjubkan. Seolah-olah aku berada di Pulau Timang, Jogjakarta Indonesia. Cumanya kali ini aku di Sarawak dan pemandangan di hadapanku ialah Gunung Santubong dan pantai air masin yang mungkin terdapat sang bedal di dalamnya. Hehehe... Jam 2:30petang, aku turun ke pantai TPK melalui tangga yang disediakan dari puncak TPK tersebut. Bersama-sama dengan family yang aku dah janji nak naik bot untuk kembali ke HQ tadi. Jam 2:30ptg kami naik bot ke HQ dan jam 3:00petang kami naik bot dari HQ pulang ke Jeti Bako. Masih tiada kelibat sang bedal di sepanjang perjalanan.

Aku tiba di jeti Bako jam 3:30petang dan untuk pulang semula ke Bandar Kuching, aku tidak menaiki Bas Asia kerana tidak mahu menunggu bas tersebut. Entah ada, entahkan tidak. Jadi ada beberapa pemandu van yang tersedia di hadapan jeti Bako memujuk pengunjung untuk menggunakan khidmat van mereka untuk ke Bandar Kuching. Jadi aku pun bersetuju untuk menggunakan sahaja perkhidmatan van ini dengan bayaran RM10 seorang. Di sepanjang perjalanan menuju Bandar Kuching, aku berbual dengan pemandu van tersebut. Tentang kisah beliau yang dahulu seorang usahawan di Johor Bahru. Namun setahun yang lalu beliau terlibat dalam kemalangan jalan raya di Batu Pahat sehingga patah tulang bahu dan tulang rusuk. Susulan insiden itu, beliau membuat keputusan untuk pulang ke Kuching, tempat asal beliau dan bekerja sebagai pemandu van sewa sepenuh masa.

Aku tiba di Bandar Kuching jam 4 petang. Memandangkan masa masih banyak dan tenaga masih mencukupi, aku ke Merdeka Plaza untuk mencari makan tengah hari sebelum ke Jambatan Darul Hana untuk mengambil gambar. Jambatan ini merupakan jambatan pejalan kaki yang baru sahaja dirasmikan pada awal Januari 2018. Reka bentuknya agak unik kerana bengkok dan agak spiral. Ini kerana di tengah tengah jambatan itu, clearance height 10m diperlukan untuk kapal melalui dibawahnya dan kelebaran sungai yang agak terhad menjadikan reka bentuk jambatan ini perlu dibuat dalam bentuk tersebut. Boleh juga rujuk kepada reka bentuk Jambatan Bengkok Johor-Singapura yang dahulunya dirancang untuk menggantikan Tambak Johor namun terpaksa dibatalkan perancangan tersebut. Di atas jambatan ini boleh menyaksikan pemandangan bandar Kuching yang indah dan semestinya Bangunan DUN Sarawak yang gah. Bangunan tersebut dikatakan berkonsepkan payung dan unik dek warna keemasaan bumbungnya apabila dilimpahi sinaran matahari di waktu petang.

Selepas ke Jambatan Darul Hana, aku berjalan ke arah Jalan Haji Taha kerana aku ingin ke Swee Kang Ais Kacang atas recommendation kawan-kawanku untuk mencuba ais kacang disini. Jadi setibanya di Swee Kang, aku memesan White Lady. Ternyata pilihan aku tiba salah. Air White Lady memang sedap. Di dalamnya ada buah buahan seperti Semangka (Semangka maksudnya buah tembikai), buah anggur, mangga yang diletak dalam air berisi susu cair. Harganya cuma RM3.80. Sangat berbaloi. Kedai ni dibuka sehingga jam 6:30petang sahaja. Mujur aku tiba jam 6:00petang. Jadi masih ada masa untuk duduk dan minum di situ. Selepas Swee Kang, aku naik GRAB untuk pulang ke hotel.

Di sebelah malam, aku mengambil keputusan untuk ke Topspot. Topspot adalah medan selera berpusat atau Centralised Seafood Court yang terletak di tingkat paling atas UTC Sarawak. Sangat mengagumkan kerana aku tidak pernah melihat sebegitu banyak kedai makanan laut yang diletakkan di satu tempat dan pengunjung boleh memilih mana mana kedai kesukaan mereka. Pilihan seafoodnya pula sangat berbagai-bagai. Ada ikan siakap, ketam, udang besar, lobster, kerang, ikan pari dan macam macam lagi. Memang fresh dan banyak pilihan. Jadi aku memilih kedai Seafood ABC. Aku pesan Siakap masak tiga rasa, kerang rebus, udang masak mentega (butter prawn) dan telur dadar. Total harga? Hanya RM85 untuk 3 orang makan. Fuhhh.. memang kenyang dan sedap. Lebih berbaloi kalau bawak family ke sini. Sebab mejanya banyak dan boleh memuatkan 10 orang satu meja.

Setelah menelaah makanan laut, aku bersiar siar di sepanjang sungai Sarawak. Dari Riverside Hotel ke Jambatan Darul Hana. Di sepanjang riverside, ada beberapa gerai jualan termasuk barangan kraftangan seperti keychain, barangan makanan seperti Kek Lapis Sarawak dan juga gerai makanan dan minuman. Suasana di situ agak tenang walaupun ramai pengunjung di situ. Kebetulan, malam tersebut ialah 31 Januari 2018 iaitu malam di mana ada fenomena Supermoon terjadi. Jadi ramai pengunjung datang ke situ untuk menyaksikan fenomena tersebut termasuklah aku. Memang dapat dilihat bulan penuh kemerah-merahan yang disaksikan orang ramai. Ada yang membawa kamera DSLR untuk merakam gambar fenomena semula jadi tersebut. Aku berjalan ke Jambatan Darul Hana dan menghabiskan masa mengambil gambar struktur jambatan tersebut sehingga lewat malam.

Sebelum pulang ke hotel, aku berjalan kaki ke RG Ais Krim Bergula Apong yang terletak di hadapan Electra House (Jalan Power). Flavour pada malam tersebut ialah pandan. Kedai ini dibuka sehingga jam 2 pagi. Aku memesan ais krim bersaiz sederhana dengan harga RM4.20. Alhamdulillah, ini kali kedua aku makan ais krim gula apong dan aku dah jatuh cinta dengannya. Sememangnya rasa ais krim RG ini sangat sangat sangatlah sedap. Walaupun manis tapi teksturnya agak lembut dan tidak terlalu sejuk. Aku pernah mencuba DP Ais Krim Gula Apong di Kg Baru KL, tapi RG punya Ais Krim Gula Apong jauh lebih sedap... Masya-Allah..... :)

 Babi Hutan Berjanggut

 Semut berkawad satu-satu horaa horeyy

Antara binatang di Taman Negara Bako



Trail menuju ke Teluk Pandan Kecil


 Pemandangan dari puncak Teluk Pandan Kecil. Segak kan? Cantik kan? Hehe


Sekembalinya aku di bandar Kuching. Berlatar belakangkan Bangunan DUN Sarawak

Di Jambatan Darul Hana


 Swee Kang Ais Kacang yang famous. Jangan lupa order White Lady. Sedap!

Antara seafood di Topspot UTC Sarawak



Cantik background di RG Ais Krim Bergula Apong ni. Neon lights berwarna warni.

Bangunan DUN Sarawak pada waktu malam

Keindahan Jambatan Darul Hana dengan lampu berwarna-warni


Hari Ketiga - 1 Februari 2018
Khamis. Hari terakhir aku di Kuching. Seawal pagi, aku mandi dan mengemas bagasi. Disebabkan aku menempah bilik melalui booking.com, aku diberi tawaran menarik iaitu boleh check-out selewat-lewatnya pada jam 2 petang instead of 11 pagi (normal check-out time). Jadi aku mengemas pakaian aku dan masukkan segalanya ke dalam backpack sebelum keluar untuk bersarapan dan mencari sedikit cenderahati. Aku ke Warung Nusantara yang terletak 50meter dari hotel. Aku memesan Mee Kolok Special dan Roti Manis. Roti Manis ialah Roti Kaya (dalam bahasa semenanjung). Rasanya amat manis dan datang bersama kuah kari ayam yang lazat. Mee Kolok Special pula ialah Mee Kolok yang didatangkan bersama Sup Tulang. Sejujurnya, ini kali pertama aku makan Mee Kolok dan aku sangat berpuas hati. Rasanya sangat sedap, portionnya banyak dan sup tulang yang diberikan sangat menyelerakan kerana dagingnya lembut dan banyak isi. Harga Mee Kolok Special hanyalah RM6.50 dan Roti Manis RM2.10

 Mee Kolok Special

 Roti Manis


Setelah bersarapan, aku berjalan ke arah Jalan Main Bazaar. Ada apa di sini? Ya, disinilah tempat untuk mencari souvenir atau cenderahati. Banyak kedai disini yang menjual t-shirt seperti I Love Sarawak, t-shirt gambar kucing, t-shirt Hard Rock Cafe Kuching mahupun t-shirt tribal tattoo yang agak typical. Namun tiada satu pun yang memikat hati aku kerana designnya agak lapuk dan material bajunya agak panas. Jadi aku hanya beli 2 set fridge magnet untuk diberikan kepada kawan-kawan aku di Kuala Lumpur nanti. Aku berjalan mencari souvenir selama 2 jam sebelum pulang semula ke hotel pada jam 2 petang untuk ambil backpack yang aku tinggalkan di dalam bilik dan terus check-out.
Pakai baju kucing, depan tugu kucing, di bandar Kuching

Memandangkan flight aku ke Kuala Lumpur jam 5 petang, aku ambil GRAB dari Hotel menuju ke KIA. Dengan tambang hanya RM11, aku tiba di Terminal KIA pada jam 3petang. Agak lewat sedikit kerana terdapat kereta rosak di sebatang jalan menuju ke airport. Di airport aku beli 4 kotak Kek Lapis Sarawak berperisa Gula Apong, Cotton Candy, Durian dan Vanilla. Bila aku beli Kek Lapis di airport, baru aku perasan, harga Kek Lapis di Sarawak rata-ratanya sama iaitu RM10 dan perisa yang dijual sama sahaja di mana-mana. Namun jika diperhatikan betul-betul, yang membezakan satu sama yang lain ialah kepadatan atau saiz Kek Lapis tersebut. Ada yang jual kek Lapis RM10 tapi lebar dan panjangnya tidak memenuhi saiz kotak bungkusan. Ada juga yang jual kek Lapis RM10 tapi keknya penuh sebesar kotak bungkusan. Jadi, sebagai pembeli, anda nilailah sendiri.

Baiklah, sebelum aku akhiri post kali ni, aku harap pembaca sekalian dapatlah ambil sedikit info untuk dikongsikan atau digunakan sekiranya mahu bercuti ke Kuching. Sama ada bersama famili ataupun sahabat handai. Kali terakhir aku ke Kuching adalah pada tahun 2005 iaitu 13 tahun yang lalu. Ternyata ada yang berubah, ada yang masih kekal di Bandaraya Kuching ini. Namun, aku cukup seronok dapat meluangkan masa bercuti disini terutamanya dek kemanisan senyuman orang Sarawak, kemesraan dan sikap toleransi antara satu sama yang lain. Sarawak sememangnya negeri yang unik. Dari segi politik, ekonomi, sosiobudaya dan juga bahasa. Kamek sayang Sarawak. Hehe.

Moga kitak berjumpa agik, Sarawak.




Comments

  1. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete
  2. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete
  3. Bercuti di Kuching bersama kami..Kuching Getaway
    Hotel-Transport-Guide termasuk pakej
    Free airport transfer
    Mesra Muslim
    Whatsapp 01114644266
    email :kuchinggetaway@gmail.com

    ReplyDelete
    Replies
    1. Hai. Bole send sebut harga tuk semua tu? Ikut plan cust or pihak anda?

      Delete
  4. saya akan ke kuching untuk bercuti pada 6-9 Nov 2019 ini dan maklumat dalam post ini sangat membantu. Terima kasih share!

    ReplyDelete
  5. how do i contact you

    ReplyDelete

Post a Comment

Popular posts from this blog

WISATA DI JOGJAKARTA.

BACKPACKING DI HONG KONG 2018